PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad lega dengan keputusan seri yang dicatatkan ke atas pasukan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.
Fandi memuji semangat yang ditampilkan anak buahnya lebih-lebih lagi skuad Tok Gajah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mykola Ahapov dilayangkan kad merah pada babak kedua permainan.
Tambah Fandi, pasukannya itu hanya kurang bernasib baik selepas beberapa peluang yang hadir dari Mykola dan Manuel Hidalgo tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.
“Satu gerakan dari Manuel dan peluang Mykola adalah peluang terbuka namun secara keseluruhan mereka bermain dengan baik.
“Walaupun dengan 10 pemain kita bermain dengan sangat tersusun sehingga Selangor tidak dapat menembusi pertahanan kita,” jelas Fandi.
Bagaimanapun, Fandi menzahirkan kegusaran atas prestasi yang ditampilkan barisan pemain serangan pasukan itu selepas beberapa aksi perlawanan sebelum ini.
“Saya rasa kita kurang ketajaman di hadapan gol dimana setiap kali dalam latihan ada sesi untuk penyudahan namun masih belum dapat sasaran,” tambah Fandi.
Bagi Ketua Jurulatih Selangor FC Mohd Nidzam Jamil, beliau memuji keampuhan benteng pertahanan Sri Pahang yang berjaya mematahkan beberapa gerakan penting dalam perlawanan itu.
Tambah beliau, disiplin pertahanan yang ditampilkan pasukan tuan rumah yang diketuai Stefano Brundo menjadi masalah utama bagi anak buahnya untuk mengerakkan serangan.
Menurutnya, walaupun keputusan seri dicatatkan namun ia adalah lebih baik bagi pasukannya itu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.