PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel dilaporkan punca ketidakpuasan hati di kalangan pemain-pemain The Blues.
Tuchel berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan reputasi Chelsea yang semakin tercalar ekoran hanya mencatatkan satu kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini.
“Kalau anda sertai Chelsea dan bermain pada tahap seperti ini ia bukan mudah dan bukan sesuatu yang menyeronokkan.
“Ia sukar, memenatkan, itu yang anda perlu terima dan itu yang diinginkan daripada semua pemain,” jelas Tuchel.
Menurut The Sun, pemain Chelsea dilaporkan tidak gembira apabila terpaksa turun berlatih pada hari Ahad, memandangkan mereka telah melalui musim yang memenatkan dengan 59 perlawanan dalam semua peringkat pertandingan setakat ini.
Marcos Alonso turut merasakan dia dijadikan kambing hitam setelah ditukarkan pada separuh masa pertama meskipun pemain tersebut telah berusaha keras pada pertemuan menentang Wolves Sabtu lepas.
Perkhabaran duka juga semakin menghantui The Blues untuk terus mengejar gelaran liga musim hadapan apabila beberapa tonggak seperti Cesar Azpilicueta dan Antonio Rudiger bakal meninggalkan skuad tersebut.
Chelsea kini menghuni tangga ke-3 liga diekori rapat Arsenal dan juga Tottenham Hotspurs masing-masing di tempat ke-4 dan ke-5 liga.
Bersandarkan prestasi terkini Chelsea bakal berdepan dengan aksi sengit menentang Liverpool dalam perebutan Piala FA pada Ahad (15 Mei) ini.