SYARIKAT dilancarkan Tiger Woods dan Rory McIlroy pada Ogos lalu, yang menjanjikan untuk membawa liga golf berteknologi tinggi dipanggil TGL dijangka bermula 2024, manakala barisan pelaburnya mula didedahkan.

TMRW Sports dalam satu kenyataan berkata, antara rakan pelabur strategik kumpulan itu termasuk Stephen Curry, Lewis Hamilton, Alex Morgan, Andy Murray, Chris Paul, Shohei Ohtani, Tony Romo, Justin Timberlake dan Serena Williams.

Menurut Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif TMRW Sports, Mike McCarley, lebih setahun lalu, pihaknya mengumpul pasukan pelabur yang akan membantu menjalankan misi TMRW Sports dengan lebih berkesan di masa depan.

Serena William antara barisan pelabur dalam TMRW Sports.

“Kami mahu pelabur terlibat langsung dalam memberikan pengalaman masa hadapan dalam bidang sukan. Kami sengaja mengumpul pelabur yang terdiri daripada kepelbagaian kepakaran, pemikiran dan latar belakang untuk menggerakkan kumpulan strategik ini.

“Malah ramai yang menunjukkan keterujaan dalam sukan golf, jadi kami hanya perlu menambah bahan api, tenaga kepada TGL, iaitu projek Kerjasama pertama kami dengan PGA Tour,” kata McCarley, yang juga bekas Eksekutif Saluran Golf.

Katanya, antara modul perniagaan TGL, akan mempamerkan perlawanan golf dari tempat dibina khas pada waktu puncak, malam Isnin bermula Januari 2024.

Bintang F1, Lewis Hamilton turut membuat pelaburan dalam TMRW Sports.

Woods dan McIlroy adalah dua pemain golf pertama yang mengesahkan penyertaan pada edisi sulung liga itu.

Idea di sebalik saingan liga ini, melibatkan enam pasukan yang terdiri daripada tiga pemain Jelajah PGA bersaing di lokasi berteknologi tinggi yang mungkin mempunyai simulator golf dan semuanya akan berlangsung di hadapan penonton dalam studio serta disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Menurutnya, perancangan asal adalah melibatkan 15 perlawanan di peringkat awal sebelum memasuki pusingan separuh akhir dan akhir.

TMRW dengan sebutan ‘tomorrow’ akan melangkaui pengalaman golf sebenar dan idea mempromosi dan persembahannya juga berbeza.