PENYERANG Sri Pahang FC yang juga pemain naturalisasi, Sergio Aguero mengumumkan dirinya telah menandatangani kontrak dengan kelab itu bagi tempoh setahun lagi.
Pendedahan itu dibuat menerusi laman sosial Instagram sekaligus menggembirakan penyokong sejati Tok Gajah.
“Alhamdulillah, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa saya telah menandatangani kontrak dengan Sri Pahang FC untuk setahun lagi. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemilik kelab, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, Ketua Jurulatih Fandi Ahmad, ejen saya Syed, kepada Eva, Valentino dan Milan untuk semua kasih sayang dan sokongan yang mereka berikan kepada saya.
“Keputusan menyambung kontrak ini adalah amat mudah. Sri Pahang FC telah memberikan saya semua sokongan yang saya perlukan dan sekarang adalah masa untuk saya membayar balik kepercayaan dan pelaburan kelab ini.
“Saya berharap dapat membawa sesuatu untuk Sri Pahang FC tahun ini. Saya berjanji saya akan cuba yang terbaik,” katanya yang segar mewakili negara di Piala AFF 2022.
Penyerang berusia 28 tahun itu tanpa berselindung mengakui 2022 merupakan tahun yang sangat sukar dan mencabar.
Namun, Aguero yang merupakan pemain kelahiran Argentina tetap percaya masa-masa yang sukar akan menjadikan dirinya seorang lelaki yang hebat.
“Walau bagaimanapun dalam tempoh kesukaran ini, terdapat keberkatan dan kemanisan dalam kehidupan.
“Saya telah mendapat seorang lagi cahaya mata dan saya telah dipilih untuk menyarung jersi Malaysia pada kejohanan Piala AFF. Saya juga telah membina gelanggang futsal saya di Kuantan,” katanya.