RED  Bull Salzburg berjaya melunaskan misi balas dendam dengan kemenangan sulung mengatasi pasukan Liverpool dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dilangsungkan di Red Bull Arena Salzburg.

Penyerang Slovenia, Benjamin Sesko muncul peledak tunggal apabila jaringannya menghasilkan kemenangan berharga 1-0 mengatasi pasukan pelawat. ‘Head to head’ jelas memihak The Reds dengan dua kemenangan dan satu seri dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Tampil dengan rekod cemerlang, Liverpool dilihat mempamerkan aksi terbaik dengan mendominasi keseluruhan permainan. Bagaimanapun, penjaga gol Salzburg, Nico Mantl dilihat menjadi watak utama dalam mematahkan asakan The Reds.

Biarpun skuad kendalian Jurgen Klopp turun dengan barisan kedua pada separuh masa pertama , namun Darwin Nunez sudah mula menunjukkan kepada Klopp bahawa dia wajar diturunkan dalam aksi sebenar Liga Perdana Inggeris.

Kemasukan Mohamad Salah dan Firmino jelas mengucar ngacirkan pertahanan Salzburg namun tetap gagal menembusi kubu yang dikawal rapi Nico Mantl.

Ia merupakan pemanas badan terakhir anak buah Klopp menjelang final FA Community Shield bertemu Manchester City yang bakal dilangsungkan di Stadium King Power, 31 Julai ini.