BEKAS pengendali jurulatih Kedah Darul Aman FC, Azraai Khor Abdullah meluahkan rasa kecewanya dengan prestasi pasukan Kedah FC pada ketika ini.

Tambahnya, pasukan KDA FC kini perlu lebih berkongsi masalah sebenar yang dihadapi dengan penyokong dan bukanlah mengambil sikap berdiam diri seperti yang berlaku pada ketika ini.

Berbeza ketika zamannya dahulu, pasukan KDA FC rata-rata dibarisi pemain muda namun kini pemain muda yang berbakat kurang diberi peluang untuk menonjolkan bakat mereka.

Mengulas perlawanan menentang Makassar di Piala AFC, jurulatih yang pernah membawa KDA FC menjuarai double treble pada tahun 2007/2008 itu menjangka ia bakal menjadi satu pertembungan yang sukar bagi Sang Kenari untuk lolos ke perlawanan akhir.

“KDA FC kongsi lah dengan penyokong, apa masalah. Saya sebelum ini tak pernah pun nak komen dekat Facebook. Itu yang saya komen, kongsi dengan penyokong. Memang kecewa sekali. Buatlah forum ke apa, yang positiflah komen.

“Beza dia masa saya bawa kita menang double treble, 90 peratus anak watan Kedah, 80 peratus bawah 21 tahun, itulah istilah ubi-ubi muda ini.

“Sesuatu perlu dilakukan, kena ada winning mentaliti. Nampak ketara bila Baddrol Bakhtiar tiada dekat situ.  Pattern of play kena berubah, approach semua kena ubah. Kalau kita tengok Pak Ngah seorang main dekat depan, tiada siapa nak letak bantuan.

” Ia sangat sukar. Harapan kita boleh performlah lawan Makassar. Tetapi kalau berdasarkan perlawanan semalam itu rasa berat.  Memang sukar,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.