BAJET 2023 yang dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, cukup responsif dalam pelbagai sektor, namun sejauh mana bajet terbabit sampai kepada pihak yang seharus memanfaatkannya.

Tidak terkecuali bajet melibatkan sektor pembangunan sukan.

Pengumuman Tengku Zafrul mengenai bajet RM13 juta untuk tujuan pembangunan Sukan Elektronik (e-Sukan), mengundang reaksi bercampur baur badan induk sukan itu.

Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latif berkata, pihaknya berterima kasih kerana kerajaan terus prihatin menyediakan bajet untuk pembangunan e-sukan, sejak 2019 hingga 2023.

Namun, ke mana perginya bajet tersebut dan kepada siapa disalurkan, menjadi persoalan badan induk sukan elektronik itu.

“Pada 2019 diumumkan bajet RM20 juta, pada 2020 diumumkan bajet RM15 juta, pada tahun lepas diumum RM10 juta dan tahun ini diumum RM13 juta untuk pembangunan e-sukan.

“Siapa yang uruskan bajet ini, kepada siapa disampaikan dan disalurkan kepada siapa, persatuan mana,” kata Nazri, mempersoalkan ketelusan pelaksanaan bajet yang dibentang.

Menurut Nazri, pemain industri dan persatuan sukan bertanya, apakah bajet itu sekadar di atas kertas sahaja.

Katanya, sepatutnya, bajet tersebut diterjemahkan melalui Kerjasama dengan persatuan sukan dan jangan hanbya menganjurkan acara tanpa pemain industry.

“Sebagai badan induk sukan elektronik, 13 ahli gabungan kami juga bertanya. Sampai sekarang tiada dana pembangunan sukan elektronik, tiada program dan tiada akademi e-sukan,” kata Nazri lagi.

Tambah Nazri, pihaknya mempunyai liga kebangsaan, Liga eMAS yang dianjurkan juga tidak membabitkan dana kerajaan, jadi kemana perginya puluhan juta yang sudah diperuntukkan dalam pembentangan Bajet sebelum ini.

Katanya, pihaknya merancang pembangunan e-sukan dari segi menyediakan kursus kejurulatihan kerana dalam e-sukan ketika ini tida pengitirafan jurulatih menerusi pensijilan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentang Bajet 2023

Selain peruntukan kepada pembangunan e-sukan, Tengku Zafrul turut mengumumkan RM145 juta untuk tujuan penyelenggaraan dan naik  taraf kemudahan sukan di seluruh negara.

Sejumlah RM154 juta pula bagi tujuan menjayakan pembangunan ekosistem sukan menyeluruh menerusi pencarian bakat baharu, program Latihan dan kelengkapan fasiliti sukan  untuk membawa negara ke podium.

Antara yang menarik, RM20 juta kepada pembangunan sukan OKU yang menghadiahkan pingat emas di temasya Sukan Paralimpik, selain RM5 juta diperuntukkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

BAJET 2023

Sukan

  • RM145 juta untuk tujuan penyelenggaraan, naik taraf kemudahan sukan di seluruh negara
  • RM154 juta bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hingga membawa negara ke podium sukan
  • RM20 juta bagi buka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag
  • RM13 juta untuk pembangunan e-sukan
  • potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada NGO yang terlibat dalam pembangunan sukan dan akar umbi
  • RM12 juta kepada pembangunan sukan OKU
  • RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB)
  • RM15 juta kepada Agenda Nasional Malaysia Sihat
  • RM10 juta kepada Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia