PELUMBA trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom hanya akan beraksi dalam satu acara iaitu pecut, di kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia, bagi mengurangkan risiko kecederaan baharu.
Pengarah Teknikal berbasikal trek negara John Beasley berkata, bagi mengurangkan risiko kecederaan baharu itu, beliau tidak akan menurunkan Shah Firdaus dalam acara keirin..
Keadaan Shah Firdaus yang masih belum pulih sepenuhnya selepas kemalangan ketika latihan minggu lalu, menjadi antara alasan Beasley enggan pelumba itu beraksi dalam acara keirin yang berisiko mendatangkan perlanggaran.
Justeru, Beasley merancang hanya menurunkan Shah Firdaus dalam acara pecut individu lelaki bersama Fadhil Zonis.
“Kami perlu melihat sama ada dia cukup sihat untuk memulakan (pecut individu) di sini, walaupun dia sebenarnya okey, tapi dia tidak berada tahap terbaik,” kata Beasley.
“Saya tidak akan mengambil risiko menyenaraikan Shah dalam keirin kerana kulitnya masih belum sembuh sepenuhnya (luka melecet).
“Kita tak dapat menjangka kerana dalam perlumbaan keirin juga mungkin boleh berlaku kemalangan kerana pelumba akan berada dalam keadaan tersedak mengumpul mata kelayakan Olimpik.
“Saya tidak mahu dia mengambil risiko terlepas Kejohanan Asia di New Delhi yang begitu hampir (21-26 Februari),” katanya.
Shah yang sering terbabit dengan kemalangan ketika perlumbaan sehingga digelar oleh rakan sepasukan, Datuk Azizulhasni Awang sebagai ‘The Terminator’ kerana kegigihannya meneruskan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, Beasley menjelaskan Azizulhasni yang berdepan masalah perikarditis sejak beberapa minggu lalu hanya akan beraksi dalam keirin di Adelaide bersama Fadhil.
Manakala pelumba wanita, Anis Amira Rosidi, Izzah Izati Asri dan Aliana Syafika Azizan akan bersaing dalam acara pecut berpasukan wanita di Adelaide.
Anis dan Izzah juga akan bersaing dalam acara pecut dan keirin individu wanita.
Saingan Piala Negara-Negara UCI siri 1 berlangsung di Adelaide, Australia pada Jumaat hingga Ahad ini.