KEROSAKAN teruk basikal milik Muhammad Shah Firdaus Sahrom akibat perlanggaran yang berlaku dalam acara keirin semalam, menyebabkan pelumba itu ketiadaan basikal yang dikhaskan untuk perlumbaan sebenar.
Justeru, pelumba dari Muar, Johor itu merayu agar basikal baharu, model sama dihasilkan secepat mungkin dalam memastikan persediaannya memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan, tidak terjejas.
Ketika ini, basikal Vorteq WX-R yang dibangunkan khas untuk Sukan Olimpik Tokyo, hanya digunakan Shah Firdaus dan Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, dan setiap pelumba hanya memiliki dua basikal.
Justeru, Shah Firdaus kini tidak memiliki basikal khas untuk berlumba selepas terbabit kemalangan di Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II, dua minggu lalu dan juga di separuh akhir keirin semalam, menyaksikan kedua-dua basikalnya “Total Loss”.
“Tahun ini mencabar buat saya kerana dua kali kemalangan dan basikal musnah, total loss.
“Saya sudah bertanya pada John (Beasley) bila saya akan dapat basikal baharu yang sama kerana saya nak juga gunakan basikal itu di Sukan Asia dan seboleh-bolehnya di Kejohanan Dunia.
“Kejohanan dunia amat penting buat saya kerana ia menawarkan mata kelayakan Olimpik paling tinggi,” kata Shah Firdaus.
Kejohanan Dunia akan berlangsung di Glasgow, Scotland pada 3 hingga 13 Ogos depan, manakala Sukan Asia pula akan bermula pada 23 September tahun ini di Hangzhou, China.
“Basikal yang saya gunakan pada final keirin tu, memang saya menolak untuk digunakan kerana sebelum ini saya dicadang menggunakannya di Sukan Asia. Basikal itu adalah prototaip pertama yang dibangunkan pada 2018 untuk ke Olimpik Tokyo, sudah berbunyi ‘ook eek ook eek’ dan feelingnya berbeza.
“Saya cakap kepada John saya nak banyak, tak nak satu kerana jika berlaku insiden kemalangna lagi saya tak mahu menanggung risiko (terlepas peluang ke Olimpik kerana tiada basikal),” ujar Shah Firdaus lagi.
Menurutnya, basikal yang digunakan di final keirin semalam adalah basikal pertama dibawa masuk ke Malaysia yang digunakan Majlis sukan Negara (MSN) untuk pertunjukan, menggunakan material berbeza dengan basikal terkini digunakan trio pecut utama negara ketika ini.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkata, pihaknya akan mendapatkan segera basikal baharu buat Shah Firdaus.
“Dia ada dua basikal, dua kali kemalangan dan memusnahkan kedua-dua basikalnya, jangan bimbang kita akan dapatkan basikal baharu untuknya, yang pasti sempat untuk Sukan Asia… itu projek yang diutamakan ketika ini,” kata Beasley.
Mengulas kepada permintaan Shah Firdaus yang mahukan bilangan basikal yang lebih banyak diperuntukkan kepada seseorang pelumba, beliau berkata: “Ya… terlalu banyak perlanggaran sebelum ini tiada apa yang musnah tapi pada dua perlumbaan terakhir ini melibatkan kemusnahan total, saya rasa itu nasib malang yang dihadapi.
“Ketika ini saya harap boleh dapatkan dua basikal, saya akan gembira jika dua basikal itu diperoleh untuk digunakan di Sukan Asia.”
Untuk rekod, basikal Vorteq WX-R dibangunkan dalam tempoh tiga tahun 2018 hinga 2020 digunakan khas untuk perlumbaan di Sukan Olimpik Tokyo dan membantu Datuk Azizulhasni memenangi pingat perak.