MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom berjaya melangkah ke separuh akhir keirin lelaki, sekali gus menyandarkan peluang cerah untuk Malaysia memburu pingat ketiga di Olimpik Paris 2024.
Selepas kem berbasikal negara dipalit kegawatan ekoran Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaan, kini Shah Firdaus menjadi watak utama untuk merebut pingat acara keirin. Kegigihannya cukup terserlah sebentar tadi untuk mara ke pusingan semifinal.
Shah Firdaus mulakan perlumbaan suku akhir bersama Matthew Glaetzer dari Australia, James Hedgcock (Kanada), Jack Carlin (Great Britain) Mikhail Iakovlev dan Kaiya Ota (Jepun).
Kayuhan yang terlihat tenang pada awalnya bertukar menjadi sebaliknya, sejurus berhasil menyusup dari tengah untuk menempatkan diri di kedudukan ketiga perlumbaan.
Seramai 12 pelumba keseluruhan akan mengiringi Shah Firdaus ke pusingan separuh akhir yang dijadual berlangsung jam 6.30 petang ini.
Wira berbasikal kita turut dijadualkan berlumba dalam saingan kedua (heat 2) separuh akhir dan perlu mendapatkan tempat ketiga terbaik untuk layak ke final keirin lelaki.