MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom mula membayangkan kilauan emas menghampiri, selepas berkali-kali cuba melakukannya tetapi menemui kegagalan.

Pelumba dari Johor itu berkata, ACC 2023 penting buatnya, bukan disebabkan menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024 semata-mata.

“Memang penting sebab sudah beberapa kali di ACC, saya memburu gelaran tetapi terlepas dan tewas hanya beberapa milimeter di garisan penama,” kata Shah Firdaus, ditemui di Veledrom Nasional, Nilai, ketika Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023.

Dia yang hanya akan bersaing dalam acara pecut individu dan keirin, bakal membuka saingan dalam acara pecut elit, esok.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom, idam pingat emas ACC dan berhasrat menamatkan kemarau itu di Veledrom Nasional, Nilai.

“Saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi kerana mahu menikmati kejohanan kali ini. Namun, misi tetap berlandaskan mata ke Olimpik Paris untuk diraih sebanyak mungkin.

“Setidak-tidaknya, menaiki podium juga sudah cukup untuk meraih mata yang banyak ke Olimpik, itu matlamat utama dari jurulatih.

“Kita masih ada Kejohanan Dunia (mata ke Olimpik) dan Sukan Asia dan kami tidak boleh tetapkan untuk memuncak di sini dan juga tidak memandang enteng cabaran di sini.”

Pada edisi 2022 di New Delhi, Shah Firdaus meraih pingat perak dalam acara keirin dan pecut berpasukan.

Datuk Azizulhasni Awang menang emas acara pecut dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menang gangsa di Hong Kong dua minggu lalu./Pix FB Datuk Azizulhasni Awang.

Manakala pada 2019, dia meraih satu perak dan dua gangsa.

Menurutnya, percaturan berbeza dalam acara pecut, apabila mereka menyasarkan sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Kita tahu pasukan sasarkan ke Olimpik apa lagi tawaran mata di kejohanan ini, berganda. Jadi, untuk saya sendiri ada sasaran peribadi dan paling penting untuk saya, layak ke final dahulu sebelum merancang memenangi gelaran.

“Untuk pecut, sekurang-kurangnya perlu layak ke suku akhir manakala keirin, saya dan Datuk Azizulhasni Awang perlu ke final,” kata Shah Firdaus lagi.