NEGARA kini mempunyai prospek pingat baharu di Temasya Olimpik Paris dalam acara berbasikal trek, selepas Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya memenangi pingat perak di kejohanan Piala Negara-Negara UCI, yang berlangsung di Kaherah, Mesir.
Shah Firdaus muncul pemenang tempat kedua di antara dua pelumba Jepun, iaitu Shinji Nakano (emas) dan Kaiya Ota (gangsa), dalam aksi berlangsung di Veledrom Antarabangsa Kaherah.
Tanpa rakan sepasukan Datuk Azizulhasni Awang yang menarik diri atas sebab kesihatan, Shah Firdasus memulakan kempen dengan memenangi pusingan pertama Repechage dalam Heat 4, selepas berada di kedudukan corot pada pusingan awal, sebelum menamatkan kedudukan dalam tiga teratas pada Heat 2 peringkat suku akhir.
Pada separuh akhir, atlet kelahiran Muar, Johor itu menamatkan saingan di kedudukan kedua di belakang pelumba Perancis, Sebastien Vigier sebelum ke final.
Kemenangan pingat perak itu membolehkan Shah Firdaus menebus kehampaan pada pusingan pertama Piala Negara-Negara yang berlangsung di Jakarta, apabila dia terlibat dalam perlanggaran pada final bulan lalu.
Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, John Beasley berkata, dengan kejayaan pelumba berusia 27 tahun itu, ‘kita memiliki dua atlet yang bersedia ke Paris’ selain pemenang pingat perak Olimpik Tokyo, Azizulhasni.
“Dia sememangnya berpotensi pingat, baru memasuki usia matang malah badannya juga cukup mata selain paling utama, mentaliti Shah cukup bersedia mengawal situasi,” kata Beasley.
Justeru, kemenangan pingat perak itu diharap menamatkan badinya di trek selepas kali terakhir pelumba itu memenangi pingat gangsa pada aksi Piala Dunia Los Angeles 2017.
Beasley ternyata gembira dengan pencapaian Shah Firdaus yang meskipun baru kali kedua mengecapi peluang menaiki podium.
“Banyak kerja keras dilakukan untuk mendapatkan keputusan itu, dia terpaksa mengharungi nasib malang setiap kali berada di puncak prestasi. Contohnya di Olimpik Tokyo, Sukan Asia di Indonesia, Covid-19 ketika di Kejohanan Asia di India tahun lalu.
“Kali ini dia berada di tahap terbaik, namun tuah tidak menyebelahinya namun dia tetap positif dan akhirnya mendapat keputusan yang sebaik ini,” katanya.