PELUMBA basikal trek negara Shah Firdaus Sahrom melonjak tangga ke-11 dalam ranking pecut individu selepas menduduki tempat keempat Piala Negara Trek UCI di Milton dalam aksi final hujung minggu.
Pencapaiannya itu membolehkan sekurang-kurangnya Malaysia berpeluang mempunyai dua wakil di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada aksi final, pelumba Australia, Matthew Richardson menewaskan Shah Firdaus dalam penentuan pingat gangsa, manakala Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago meraih emas selepas menewaskan Mateusz Rudyk dari Poland pada perlawanan akhir di Pusat Berbasikal Kebangsaan Mattamy.
Justeru, Shah Firdaus dijangka tiada masalah bersama bekas pelumba keirin nombor satu, Datuk Azizulhasni Awang dijangka layak ke Olimpik Paris dalam kedua-dua acara keirin dan pecut, sekali gus membuka slot kepada Fadhil Zonis untuk layak dan membolehkan Malaysia bersaing dalam acara pecut berpasukan.
Ketika Shah Firdaus menduduki tempat ke-11 dalam ranking pecut individu dengan 696 mata, Azizul di tempat ke-18 dengan 480 mata, manakala Fadhil pula di tempat ke-54 dengan dua mata.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley berbangga dengan aksi baik dipamer Shah Firdaus tetapi merasakan pelumba itu hanya kurang keyakinan diri.
“Shah melakukan kerja yang hebat, dia melakukan apa yang diperlukan pasukan untuk memastikan memungut mata untuk kelayakan Olimpik berakhir dengan baik.
“Saya sangat gembira untuk Shah, dia kadang-kadang kurang keyakinan, kita semua tahu betapa baiknya dia,” kata jurulatih berasal dari Australia itu.
Beasley menambah, pasukan berbasikal negara akan kembali ke Malaysia pada Khamis dan akan menyambung latihan Isnin depan.
Pasukan berbasikal trek negara akan meneruskan saingan dalam Kejohanan Kebangsaan pada Mei, Kelas 1 Hong Kong pada akhir Mei, Kejohanan Asia pada pertengahan Jun, Kejohanan Dunia pada Ogos dan Sukan Asia Hangzhou pada September.
“Pasukan akan tiba pada pagi Khamis, mempunyai beberapa hari rehat sebelum memulakan latihan penuh Isnin depan,” katanya.