BASIKAL trek menambah sumbangan pingat apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi cemerlang menghadiahkan pingat gangsa dalam acara pecut individu.

Shah mempamerkan kayuhan bertenaga menewaskan pelumba tuan rumah, Xue Chenxi 2-0.

Ia adalah pingat gangsa ketiga negara di Velodrom Chun’an Jieshou, selepas acara pecut berpasukan lelaki dan wanita menyumbangkan dua pingat gangsa sebelum ini.

Esok Shah sekali lagi berpeluang untuk mendapatkan pingat, apabila turun dalam acara keirin bersama-sama Mohd Fadhil Zonis yang mengambil alih tempat yang ditinggalkan Datuk Azizulhasni Awang.

Emas acara pecut dimenangi jaguh Jepun, Ota Kaiya manakala perak menjadi milik pelumba China, Zhou Yu juga dengan keputusan 2-0.

Untuk rekod ketika temasya Sukan Asia Palembang-Jakarta, Azizul berjaya menyumbangkan emas dalam acara pecut individu.