DUA prospek pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohamad Shah Firdaus Sahrom dari sukan berbasikal trek dan S Sivasangari dari skuasy, diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia pada temasya yang berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika Majlis Penyerahan Watikah Kontinjen Malaysia ke Hangzhou, hari ini (Rabu).

Bagi Shah Firdaus, pemilihan itu dianggap satu penghormatan dan memberi motivasi tambahan untuk mendapatkan keputusan positif buat negara pada temasya terbesar Asia berkenaan.

Mohamad Shah Firdaus Sahrom dipilih pembawa Jalur Gemilang Sukan Asia Hangzhou.

“Sudah tentu ini adalah sesuatu yang istimewa untuk saya kerana ini adalah kali pertama saya akan menyertai ucapara perasmian bersama kontinjen negara. Sebelum ini, memang tidak pernah kecuali Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur saya dipilih untuk membawa obor.

“Pemilihan sebagai pembawa bendera kali ini, memberikan motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan terbaik. Saya harap ia saya boleh beri inspirasi kepada atlet yang lain untuk mencipta sesuatu pada Sukan Asia kali ini,” kata Shah Firdaus.

Kontinjen Malaysia dianggotai oleh seramai 289 atlet dan 145 pegawai, dengan jumlah besar 434 (309 lelaki dan 125 wanita).

Kontinjen yang diketuai oleh Datuk Chong Kim Fatt yang juga Naib Presiden MOM, akan menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan.

Sivasangari turut dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Hangzhou.

Malaysia akan menyertai akuatik – terjun dan renang, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), bola keranjang 3×3 (lelaki dan wanita), dragonboat, ekuestrian, gimnastik (artistik dan berirama), hoki (lelaki dan wanita), jujitsu, karate, kabbadi, kriket (lelaki dan wanita), memanah, menembak, e-sukan, go, xiangqi, olahraga, pelayaran, ragbi, skuasy, taekwondo, tinju dan wushu.

Sementara itu, Norza turut mengumumkan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan bekas gimnas negara, Prof Madya Dr Farrah Hani Imran, sebagai timbalan ketua kontinjen.

“Kami di MOM percaya gandingan Datuk Chong dengan dua timbalannya yang mempunyai latar belakang kepimpinan dan pengalaman selaku atlet, adalah resipi terbaik untuk dibawa ke China,” katanya.