JAGUH berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan terlepas mana-mana kejohanan biarpun mengalami kecederaan dalam latihan di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, minggu lalu.

Malah, walau bagaimana keadaannya sekalipun, Shah Firdaus akan tetap tampil beraksi pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI pertama, di Adelaide, Australia 2 hingga 4 Februari ini.

Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, Shah Firdaus kini sudahpun berada di Adelaide dan dijangka menyertai Datuk Azizulhasni Awang memburu pingat buat negara di kejohanan berkenaan.

Mengulas mengenai tahap kecederaan yang dialami oleh Shah Firdaus itu, Harnizam berkata, pelumba yang dikenali dengan The Terminator Shah itu sudah semakin pulih.

Jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basrei (kanan) mengesahkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sudah ebrada di Adelaide, Australia bagi menyertai kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2-4 Februari.

“Ada empat hari lagi sebelum saingan bermula. Setakat ini dia sangat positif. Kecederaannya juga sudah semakin pulih.

“Insya-Allah dia akan berjuang untuk memburu pingat dan peluang itu sentiasa ada, cumanya kita pun tak tahu persiapan negara untuk musim baru ini,” katanya.

Kejohanan Piala Negara-Negara itu adalah kejohanan kompetitif pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris tahun ini.

Tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek bermula sejak 19 Julai lalu sehingga 14 April ini.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom meneruskan kayuhan selepas terlibat perlanggaran dalam acara keirin (separuh akhir) ACC 2023 di Veledrom Nasional, Nilai.

Terdahulu, penyertaan pemenang pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou di Adelaide menimbulkan persoalan akibat kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai, Selalu lalu.

Atlet berusia 28 tahun itu terbabit dalam kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikal ditunggangnya meletup semasa sedang memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya sama seperti yang pernah dialami oleh Azizul sebelum temasya Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.

Kecederaan dialami itu agak serius membabitkan bahu kirinya, luka di keseluruhan bahagian bahu dan bengkak di buku lali menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan.

Untuk rekod, Shah Firduas pernah merangkul perak dalam acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara di Kaherah Mesir Mac lalu sebelum meraih perak dalam acara yang sama di Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM) di Ghent pada April.