MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom, menutup tirai berbasikal trek negara dengan pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou, selepas menamatkan perlumbaan keirin di kedudukan ketiga.

Berlangsung di Velodrom Chun’an Jieshou itu, percaturan Shah tampak tidak menjadi apabila ketinggalan di belakang jaguh dari China, Zhou Yu yang meraih pingat emas dan pelumba Korea, Kang Seojun, perak.

Zhou Yu sebelum ini turut meraih dua perak dalam acara pecut individu dan pecut berpasukan.

Sementara itu seorang lagi wakil negara dalam acara itu Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan cabaran di kedudukan kelapan keseluruhan acara keirin.

Dalam aksi pecut wanita perjuangan wakil negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi terhenti di suku akhir.

Izaah tewas 0-2 kepada pelumba China, Yuan Liying manakala Anis Amira terpaksa akur akan kehebatan seorang lagi wakil tuan rumah, Guo Yufang juga dengan 0-2.

Terdahulu acara berbasikal trek memulakan kempen mereka dengan pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan menerusi trio wanita Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah dan Anis Amira serta trio lelaki Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan dan Muhammad Fadhil sebelum Shah menyumbangkan satu gangsa dalam acara pecut semalam.

Untuk rekod pencapaian skuad berbasikal di Jakarta-Palembang adalah pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

ARTIKEL BERKAITAN : Shah Firdaus raih gangsa acara pecut