HANYA tiga pemain skuad eRimau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan mewakili negara dalam Kejohanan AFC, Piala eAsian 2023 di Qatar bermula 1 Februari ini.
Sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut, tiga pemain e-sukan telah dipanggil FAM untuk menjalani latihan pusat bermula pada 26 Januari 2024.
Individu yang bertuah bakal mewakili Malaysia ke Qatar ialah Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh (JDT Haikal), Muhamad Khairul Abdul Aziz (Keron) dan Shaharil Shaifuddin Shaharuddin (Ochibikun).
Shaharil bukan saja menggalas peranan sebagai pemain skuad FAM eRimau, malah beliau juga akan memegang peranan sebagai jurulatih pasukan sepanjang AFC eAsian Cup.
Sementara itu, Haikal Noh atau JDT Haikal tidak asing dalam kalangan penggiat e-sukan Malaysia kerana beliau bergelar pemain nombor satu dunia untuk eFootball pada Januari 2023.
Haikal juga tersenarai sebagai antara 20 pemain terbaik dalam kejohanan Global Esports Game eFootball World Cup yang berlangsung pada tahun lepas. Dalam kejohanan itu, beliau menduduki tangga ke-17 dunia.
Kemahiran tiga pemain e-sukan ini bakal ditagih Malaysia untuk mempamerkan cabaran mantap AFC eAsian Cup.
Mereka akan terbang ke Doha, Qatar pada 30 Januari sebelum memulakan cabaran menentang skuad dari Jordan pada 1 Februari.
Skuad FAM eRimau kemudiannya berdepan Bahrain dan Korea Selatan pada 2 Februari.
Saingan pusingan 16 terbaik dan suku akhir kejohanan akan berlangsung pada 4 Februari 2024 dan ini disusuli saingan separuh akhir dan final yang akan diadakan 5 Februari 2024 di Doha Festival City Mall, Qatar.