KEMENANGAN pingat emas pertama dalam acara kumite bawah 50 kilogram (kg) wanita, sememangnya menghadirkan kegembiraan buat kontinjen negara, namun pencapaian C Shahmalarani itu menimbulkan kemarahan seseorang sehingga mengamuk di belakang pentas tempat duduk penonton kenamaan (VVIP).
Mana tidaknya, pemain yang ditewaskannya adalah juara Sukan Dunia di Birmingham tahun lalu, pemenang perak Sukan Asia 2018, pemenang emas Sukan Sea 2019 dan juga pemenang emas Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) April lalu.
Kemenangan Shahmalarani ke atas Junna Tsukii ketika menyumbang emas pertama buat kontinjen negara di temasya Sukan Sea Kemboja, sekali gus membolehkan karateka kelahiran Klang itu membalas dendam akan kekalahan di SEAKF yang berlangsung di Filipina.
Sejurus selepas Shahmalarani diisytihar pemenang perlawanan akhir itu, Tsukii berjalan ke belakang pentas sambil merenggus dan memarahi seseorang yang cuba menenangkannya.
Tambah menyakitkannya, Shahmalarani mendapat perhatian media dan ditemuramah wartawan di hadapannya yang tidak dapat mengawal perasaan selepas pengadil memutuskan karateka negara menang biarpun mata terikat 1-1.
Kemenangan ke atas Tsukii itu adalah yang pertama buat Shahmalarani: “Saya tidak bermula dengan baik tetapi jurulatih Tamer Abdelraouf berasakan lawan dari Filipina itu belum bersedia untuk perlawanan itu lalu meminta saya mencari ruang yang ada dan melakukan serangan, ia banybak membantu mengurangkan gugup saya.
“Selepas mata terikat 1-1, saya mula yakin boleh memenangi perlawanan kerana saya mengawal sepanjang pertarungan.”
Tamat perlawanan itu, pengadil mengisytihar Shahmalarani menang berdasarkan aksi agresif dipamernya berbanding atlet Filipina yang berasal dari Jepun itu.
Sejurus selepas Shahmalarani menang perlawanan emas-perak, S Prem Kumar pula menghadiahkan emas kedua negara selepas menang dalam kumite bawah 55kg lelaki.