SHAHREL Fikri antara 10 pemain tempatan baharu yang bakal sertai PDRM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Pengumuman perpindahan masuk bekas pemain Perak FC dan Negeri Sembilan FC itu dibuat menerusi satu hantaran video dan foto yang dimuatnaik di media sosial rasmi PDRM FC.

“Kami dengan berbesar hati mengumumkan penambahan beberapa pemain tempatan yang baharu bagi saingan Liga Super 2024/2025 yang akan datang. Mereka semua sudah menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain. Selamat datang ke PDRM FC!,” tulis pasukan The Cops di laman Instagram pasukan.

PDRM FC mengumumkan 10 pemain tempatan yang akan bermain bersama The Cops untuk musim akan datang. (Sumber Gambar: FB PDRM FC)

Sembilan pemain tempatan lain yang menyertai PDRM FC adalah Bryan See, Asri Muhamad, Robson Randy Rining, Badrul Affendy, Zuhair Aizat, Shafizi Iqmal, Eizrul Ashraf, Hidhir Idris dan Christopher Keli.

Shahrel yang berusia 30 tahun itu beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan FC musim lepas, dimana beliau telah menjaringkan 6 gol dalam 16 penampilan liga musim lalu.

Bekas penyerang terbaik ABK 2020 juga memiliki pengalaman beraksi di pentas antarabangsa ketika mewakili skuad kebangsaan dengan kali terakhir beliau dipanggil pada aksi persahabatan di Terengganu tahun lalu.