PENYERANG PDRM FC, Shahrel Fikri mengakui kekalahan besar dengan keputusan 1-5 bertemu Sri Pahang FC pada Ahad lalu telah memberi satu pengajaran dan motivasi baharu buat pasukannya.
Beberapa kesilapan yang dilakukan pada aksi tempoh hari telah diteliti dan cuba untuk mengelak daripada melakukan kesalahan sama pada perlawanan Liga Super antara PDRM dan Sabah FC pada petang ini.
Justeru, penyerang berusia 29 tahun itu tekad untuk menebus maruah pasukan dengan cara mengikat Sabah FC petang ini, sekali gus mendapatkan tiga mata penuh di laman sendiri.
Menurut Shahrel Fikri, meskipun dia turut akui kehebatan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, namun dia juga yakin akan kekuatan jentera P Maniam yang tekad untuk memburu kemenangan di Stadium Selayang, petang ini.
“Sabah satu team yang kuat dan berada di kedudukan lebih tinggi berbanding PDRM, namun beraksi di laman sendiri adalah satu kelebihan dan sudah tentu semua pemain akan beri yang terbaik untuk dapatkan tiga mata petang ini.
“Secara keseluruhan, saya lihat prestasi skuad agak sedikit merundum setelah beberapa perlawanan kebelakangan ini. Kami telah mencatat kemenangan keatas Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dan selepas itu liga berehat beberapa minggu, ia sedikit sebanyak mengganggu momentum kemenangan kami.
“Hakikatnya kami tewas besar 1-5 kepada Sri Pahang, dan itu menjadi satu suntikan motivasi untuk pemain menunjukkan karakter masing-masing dan bangkit dari kekalahan, seterusnya mendapat keputusan positif,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Untuk rekod, Shahrel telah berjaya menyumbat dua gol dalam kesemua lapan penampilan yang dilakukan pada aksi Liga Super bersama PDRM musim ini.
PDRM pula yang kini berada di tangga ketujuh Liga Super mempunyai misi penting untuk mendaki ke kelompok lima terbaik dalam carta, sekali gus mengekalkan momentum cemerlang untuk aksi-aksi mendatang.