AKSI bertenaga dipamerkan anak buah Michael Feichtenbeiner apabila berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menewaskan pasukan tercorot Liga Super, Penang FC 2-0 di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Meskipun Selangor FC tampil dengan taktikal menyerang, namun barisan hadapan terutama Herlison Caion dilihat seakan buntu menemui sentuhan penyudah sekaligus menyaksikan babak pertama berkesudahan 0-0.
Rata-rata penyokong sudah memberikan signal jelas dengan laungan ‘Kena Menang’ sepanjang separuh masa pertama untuk menyingkirkan DNA Jerman andai masih tidak mampu mencorak aksi konsisten untuk pasukan Selangor FC.
Babak kedua memperlihatkan aksi lebih meyakinkan apabila kemasukan Muhammad Shahrel Fikri dan Muhamad Syahir Bashah masing-masing menjaringkan satu gol buat Selangor FC.
Dalam pada itu turut timbut sedikit panas apabila pemain Penang FC, Ahmad Sukri Ab Hamid dibuang padang pada minit ke-65 sekaligus menyaksikan anak buah Zainal Abidin Hassan tempang menghabiskan baki perlawanan.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat, melonjak Red Giants ke tangga ke-5 Liga Super dengan 15 mata manakala Harimau Kumbang terus kekal di tangga tercorot liga.