PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) difahamkan telah melantik Datuk Seri Shahril Mokhtar sebagai pengurus pasukan baharu bawah 23 tahun negara.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bersidang semalam, difahamkan keputusan sebulat suara dicapai dan Shahril tidak menolak untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
Difahamkan, sebaik sahaja dilantik beliau terus melakukan kerja rumah dengan pantas apabila mengadakan pertemuan bersama barisan kejurulatihan pasukan B-23 termasuk dihadiri E Elavarasan bagi membincangkan soal perancangan semasa.
Shahril bukan individu biasa-biasa kerana kini memegang peranan dalam Naib Presiden FAM bagi penggal 2021-2025 dan akan menggantikan pengurus pasukan B-23 terdahulu, Datuk Posa Majais.
Selain dalam FAM, Shahril juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Tugasan terkini akan diharungi skuad B-23 menentang musuh tradisi, Thailand, Bangladesh dan Filipina pada Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok yang akan berlangsung 6 hingga 12 September depan.