PERENANG para negara, Abd Halim Mohammad gembira apabila menerima hadiah insentif tertinggi sejak dia bergelar atlet selepas menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM62,250 hasil kecemerlangannya di Sukan Para Asean Kemboja pada Jun.

Perenang berusia 25 tahun ini yang juga seorang anak nelayan mahu menggunakan wang kemenangan yang diterima ini untuk membantu keluarganya yang menetap di Kampung Baru-Baru, Tuaran, Sabah.

Halim berjaya memenangi lima pingat emas dan satu gangsa di Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja selain turut berjaya memecahkan dua rekod temasya yang turut melayakkan dia menerima insentif di bawah SHAKAM.

 

“Saya mahu menggunakan wang ini bagi membantu ibu menyara keluarga di kampung. Saya ada seorang adik yang masih bersekolah, saya mahu balas segala pengorbanan keluarga untuk saya selama ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan 2023.

Ketika Sukan Para Asean, Halim cemerlang meraih emas dalam acara 200 meter rampaian individu SM8, 50 meter gaya bebas S8, 100 meter kuak dada SB8, 100 meter gaya bebas S8 dan 50 meter kuak dada SB selain gangsa 4×100 meter rampaian 34 mata dan memperbaharui dua rekod temasya bagi acara 50 meter gaya bebas dan kuak dada.

Dia turut berkongsi perancangannya selepas ini di mana dia kini dalam rangka persiapan untuk beraksi di Kejohanan Renang Para Dunia di Manchester dari 31 Julai hingga 6 Ogos selain bakal menggalas tugas di Sukan Para Asia Hangzhou di China dari 22 hingga 28 Oktober 2023.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran khusus memandangkan ia adalah penampilan pertama saya dalam kedua-dua kejohanan itu. Apa yang saya mahu lakukan adalah buat yang terbaik dan cuba memperbaiki catatan peribadi terbaik,” jelasnya.