PEMENANG pingat gangsa Olimpik Malaysia Lee Zii Jia, Aaron Chia, dan Soh Wooi Yik bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) lumayan berikutan pencapaian cemerlang pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal menerima insentif itu sebanyak RM100,000 setiap seorang, manakala pemain perseorangan Lee Zii Jia sebanyak RM250,000.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil keputusan untuk memberikan ganjaran itu kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas melihat segala lelah mereka hadapi serta pencapaian mereka di pentas Olimpik.
Menurutnya, mereka sudah berusaha keras untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dan berjuang berhabis-habisan di Sukan Olimpik.
“Ini kali kedua Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa (Tokyo 2020 dan Paris 2024).
“Jadi MSN memutuskan untuk memberi ganjaran RM100,000 setiap seorang kepada mereka tanpa perlu berkongsi,” katanya selepas majlis penyerahan kenderaan Chery kepada pemenang pingat Olimpik.
“Zii Jia diberikan geran RM50,000 sebelum Paris 2024 dan beliau akan menerima tambahan RM100,000 di bawah skim MSN, RM100,000 pula hadir menerusi hadiah Shakam,” tambahnya lagi.
Menerusi pengumuman KBS menerusi MSN sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).
Selain itu, mereka juga akan menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik berkuatkuasa bulan hadapan yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang pingat emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.