BAHAGIAN serangan Harimau Malaya sekali lagi mengalami perubahan apabila pemain Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan dipanggil bagi menggantikan Darren Lok.
Menurut satu hantaran di media sosial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Shamie yang sebelum ini tersenarai dalam senarai bersedia telah dipanggil untuk melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan mulai hari ini.
Shamie akan menggantikan Darren yang mengalami kecederaan hamstring selepas pemeriksaan doktor dilakukan.
Penyerang Sabah FC itu telah melaporkan diri pada Isnin tetapi sudah dilepaskan oleh pasukan kebangsaan untuknya menerima rawatan dan menjalani proses pemulihan.
Berikutan kecederaan dialami, Darren menjadi pemain terbaharu yang terpaksa diketepikan selepas skuad negara kehilangan tonggak penting seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Shamie merupakan pemain terbaharu yang dipanggil oleh Kim Pan-gon selepas Zhafri Yahya menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam bagi menggantikan tempat penyerang Kedah, Syafiq Ahmad.
Pasukan Harimau Malaya akan terbang ke Bishkek untuk perlawanan kelima kumpulan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Chinese Taipei pada 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.