ATLET negara menyertai kejohanan Sukan SEA 2021 yang pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri disarankan agar berhati-hati di jalan raya setiap masa.
Peringatan itu disuarakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam video pendek Facebook MSN pada Isnin.
“Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin. Buat seluruh warga sukan yang akan kembali ke kampung halaman berhati-hatilah di jalan raya.
“Atlet negara yang akan berjuang di Sukan SEA Hanoi, selamat berjuang. #DemiMalaysia,” katanya.
Terdahulu, atlet dan jurulatih negara menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Al-Faizan MSN, Bukit Jalil.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN, Suhardi Alias.
Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 584 atlet meletakkan sasaran sebanyak 36 pingat emas di temasya berkenaan.