SHEREEN Samson Vallabouy terus menggegar di bumi Amerika Syarikat (AS) apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) dengan catatan 23.33 saat (s) ketika menduduki tempat keempat pada final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, awal pagi tadi.

Catatan itu menyaksikan dia meleburkan rekod berusia 25 tahun milik legenda olahraga negara, G Shanti 23.37s yang dilakukan di Fukuoka, Jepun pada 1998.

Final acara itu dimenangi atlet Jamaica, Nataliah Whyte dengan catatan 22.76s diikuti Talitha Diggs dari AS kedua (22.83s) manakala pelari Nigeria, Favour Ofili ketiga (22.94s).

April lalu, Shereen yang berusia 25 tahun meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dalam acara 400m milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam dengan catatan 51.80s di Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California.

Dia yang kini bergelar atlet profesional selepas menamatkan pengajian di Winona State University di Minnesota, memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada 1993 di Filipina.