KERANA terlalu fokus dalam pertandingan, atlet karate negara tidak sedar sedang menentang pemain bertaraf bintang di bumi Finland.
Karateka wanita C. Sharmalarani merangkul pingat emas selepas menewaskan atlet tuan rumah, Titta Keinanen pada final kategori lebih 68 kilogram (kg) kumite terbuka individu wanita.
Menariknya, kejayaan itu cukup besar kerana Sharmalarani mengalahkan karateka ranking ke-11 dunia dan dia sendiri tidak menyedari hal itu sehinggalah selepas dikalungkan pingat, baharu dia mengetahuinya.
“Pertarungan kami sengi dan impak pertarungan itu amat kuat hingga muka saya luka. Mujur saya mendahuluinya sejak awal hingga diisytihar pemenang.
“Saya ketawakan diri sendiri kerana tidak tahu saya menentang atlet di ranking ke-11 dunia dari Finland, saya ingat dia atlet biasa sahaja.
“Lepas terima pingat baharu saya sedar dia berada dalam ranking top dunia. Saya bangga dengan kemajuan prestasi sekarang,” katanya.
Penuntut Sarjana Sains Aktuari di Universiti Sunway itu turut meraih pingat perak kumite bawah 61 kilogram individu wanita selepas tewas kepada karateka Finland, Kiia Koponen.
Ketika ini, Sharmalarani dalam perjalanan ke Istanbul, Turki untuk menghadapi saingan Terbuka Turki bermula Khamis.
Siri kejohanan di Eropah itu menjadi persediaan terbaiknya untuk menghadapi Series A di Indonesia bermula 16 hingga 20 November depan selain Kejohanan Karate Asia di Uzbekistan, sebulan selepas itu.
Menurutnya, dia belum mempunyai ranking kerana tidak menyertai kejohanan bertaraf Serie A dan Premier League.
“Saya berada di kedudukan 281 dunia kategori bawah 55kg, namun kali terakhir saya bermain dalam kategiru itu pada 2019,” kata Sharmalarani lagi.