PELAKON terkenal tanah air, Sharnaaz Ahmad, mengejutkan ramai pihak apabila diumumkan sebagai pemilik kelab bola sepak amatur, Carabat FC yang bakal beraksi dalam Liga Selangor (FAS).
Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman sosial rasmi Carabat FC, yang menyaksikan kelab itu kini ditunjangi pemain muda berbakat dan mempunyai matlamat besar untuk mencipta nama dalam arena bola sepak Malaysia.
Sharnaaz, yang sememangnya dikenali sebagai peminat tegar bola sepak, menjelaskan bahawa penubuhan Carabat FC adalah langkah serius untuk membuka peluang kepada pemain amatur bagi mempamerkan kebolehan mereka.
“Kelab ini masih baharu dalam komuniti bola sepak, tetapi mempunyai visi yang besar untuk memberi impak dalam bola sepak Malaysia. Kami ingin mencipta gaya permainan tersendiri yang menghiburkan peminat dan memberi peluang menjaringkan gol melalui permainan yang pintar dan tersusun,” kata Sharnaaz dalam kenyataan rasminya menerusi Instagram rasmi kelab.
Tambahnya, kelab ini bukan sahaja fokus kepada prestasi kompetitif tetapi juga kepada pembangunan pemain, di mana Carabat FC bertekad untuk memanjat tangga kejayaan bola sepak tempatan.
“Saya berharap kami dapat mencapai lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat, termasuk membuat debut di FAS Super League.”
Carabat FC baharu sahaja beraksi dalam satu perlawanan persahabatan dan bakal menentang Bangi City untuk aksi kedua di KV Arena, Shah Alam pada Sabtu.
Perlawanan persahabatan ini dijangka menjadi medan penting untuk mereka menilai kemampuan serta potensi pemain-pemain muda dalam skuad tersebut.
Dengan kepimpinan Sharnaaz Ahmad, Carabat FC kini bersiap sedia untuk mengharungi cabaran dalam Liga Selangor (FAS), sambil membawa harapan mengangkat lebih banyak bakat amatur ke tahap yang lebih tinggi.