SAYA mahu atlet terbabit dijaga ruang privasi dan we want her to be safe!”

Demikian menurut Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Sharon Wee apabila diminta mengulas mengenai insiden gangguan seksual membabitkan atlet berbasikal wanita dan jurulatih, yang dilaporkan semalam.

Sharon yang terlibat dalam sukan antarabangsa sejak berusia 13 tahun lagi mengakui terkejut dengan kejadian terbabit, ketika saingan Sukan Sea di Kemboja, hanya akan berlangsung kira-kira enam minggu sahaja lagi.

Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Sharon Wee mahu sukan selamat untuk semua.

“Sebagai wanita, bekas atlet, penggiat dan pentadbir sukan, saya tak setuju dan membantah segala bentuk gangguan seksual.

“Menteri Belia dan  Sukan (Hannah Yeoh) baru sahaja melancarkan Kod Sukan Selamat untuk pastikan sukan berada di platform sihat dan selamat untuk semua baik kanak-kanak, lelaki dan wanita… saya amat sedih perkara ini berlaku,” kata Sharon.

Begitupun, beliau yakin Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akan mendapatkan solusi terbaik.

“Kebenaran harus ditegakkan, siapa bersalah, perlu dipersalahkan tapi sebagai seorang wanita dan Timbalan Ketua Kontinjen, saya mahu atlet terbabit dijaga dari segi emosi dan mental dan mahu dia berada dalam keadaan sihat dan selamat.

“Apabila sebut atlet, kami baik lelaki wanita memang ‘sporting’ tapi setiap orang perlu menghormati antara satu sama lain. Ini sampai tahap membuat laporan polis, saya yakin amaran sudah diberikan oleh atlet wanita terbabit dan kesalahan dilakukan berulang kali.

“Ya.. joke is joke tapi jangan melepasi landasan atau garisan pemisahnya.”

Semalam, Flash Sukan melaporkan Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill, mengesahkan seorang atlet berbasikal wanita kebangsaan membuat laporan polis terhadap jurulatihnya yang melakukan gangguan seksual.

Beliau turut mengambil tindakan segera, dengan mengarahkan jurulatih tersebut digantung tugas sebagai jurulatih kebangsaan bagi tempoh siasatan, dan jurulatih tersebut tidak dibenarkan untuk berkomunikasi dengan atlet terbabit.

Tambahnya, beliau yakin senario sukan di Malaysia amat selamat dan tindakan satu dua insan ‘jahat’ di dunia ini tidak menggambarkan senario sebenar sukan negara.