MENJADI cabaran besar buat atlet gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam dalam mengharungi kejohanan-kejohanan besar untuk melayakkan diri di pentas Olimpik Paris 2024.

Perkara ini diakui oleh Sharul sendiri apabila dia mengetahui beberapa pencabar utama dari negara-negara Asia lain turut sama dalam perebutan slot ke temasya Olimpik tahun ini.

“Ramai lagi pesaing-pesaing saya yang belum layak untuk ke Olimpik. Jadi bagi saya, mereka akan menjadi cabaran utama di Kejohanan Piala Dunia dan Piala Asia yang bakal saya sertai nanti.

“Wakil dari Vietnam, Hongkong serta Taiwan adalah antaranya,” ujar Sharul kepada FLASH SUKAN.

Justeru, atlet gimnastik artistik negara itu kini sedang menjalani latihan khusus bersama lagenda Jepun, Kohei Achimura bagi langkah persiapan untuk menghadapi kejohanan yang akan berlangsung pada Februari.

Artikel Berkaitan: Misi Olimpik Paris Sharul Aimy bermula di Jepun

Pentas kejohanan pertama yang bakal diharungi oleh Sharul adalah di Kaherah, Mesir dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung 15 hingga 18 Februari.