GIMNAS negara, Muhammad Sharul Aimy Kamarul mengaku lebih selesa dan tidak lagi berasa sakit selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lali sebelum ini.

Menurutnya, kecederaan buku lali kanan yang dialami sewaktu latihan selepas Kejohanan Artistik Gimnastik Asia di Singapura pada Jun lalu telah merundumkan semangat serta prestasinya, namun kini dia kembali mengumpul semangat yang hilang.

“Saya yakin bahawa kini berada dalam tahap 90 peratus di mana lebih baik dari segi prestasi kelajuan dan lain-lain,” kata Sharul kepada media.

Meskipun amat sukar untuk dia mencabar pingat, dia tetap yakin peluang buatnya masih ada berikutan kebanyakan gimnas utama negara pesaing dijangka mengikuti Kejohanan Gimnastik Dunia di Antwerp, Belgium yang bermula pada 30 September 2023.

Ianya juga begitu rapat dengan temasya Sukan Asia Hangzhou 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober 2023.

Dalam pada itu, kejohanan dunia yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik berbanding Sukan Asia juga menjadi salah satu pengaruh buat para atlet negara lain pergi ke sana.

“Saya juga pasti negara-negara lain masih mempunyai barisan atlet pelapis yang berbakat dan bagus untuk bersaing di temasya Sukan Asia.

“Namun saya akan menjadikan pengalaman berada di pusingan akhir Kejohanan Gimnastik Asia Singapura sebagai satu kelebihan untuk saya perbaiki kesilapan yang pernah dilakukan,” ujarnya.

Malaysia belum pernah memenangi sebarang pingat dalam gimnastik Sukan Asia sejak pada edisi Doha 2006 menerusi atlet Ng Shu Wai acara vault lelaki.