PENGARAH Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berbesar hati dan berbangga selepas dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh sebagai Pengerusi Impact Integrated.

Menurutnya, Impact akan memberi tumpuan kepada tiga fokus utama pembangunan belia, esport dan media di bawah jenama Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix, Picksum, dan mySukan TV.

“Berharap untuk berkhidmat kepada negara bersama Pengurusan dan Lembaga Pemegang Amanah lain yang dihormati,” katanya di laman Instagram pada Ahad.

Impact Integrated, sebuah syarikat berhad jaminan yang berfungsi sebagai agensi pemangkin strategik di bawah kawal selia KBS yang berteraskan impak dan tidak berkeuntungan.

Terdahulu, Hannah memaklumkan pelantikan 11 ahli lembaga pemegang amanah baharu Impact Integrated bagi tahun 2023.

Sheikh Farouk yang dilantik sebagai Pengarah Urusan bermula 1 Julai 2022 aktif terlibat dalam penajaan dan mengikat kerjasama dalam sektor sukan negara menerusi AEON Big sejak kebelakangan ini.

Contohnya, AEON Big tampil sebagai salah satu penaja Liga Malaysia, rakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), rakan rasmi Selangor FC serta rakan strategik Liga Besbol Kebangsaan.