PERJALANAN Kuala Lumpur City FC ke pentas final Piala AFC pada Sabtu, 22 Oktober 2022 ini di Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditemani lagu yang menjadi siulan para penyokong skuad Warga Kota, Sinaran dendangan Datuk Sheila Majid.

Menerusi pengumuman di laman sosial rasmi kelab, KL City menjelaskan Datuk Sheila Majid akan mengadakan persembahan pembukaan dan semestinya lagu Sinaran bakal menjadi perhatian para penyokong yang jadir.

Lagu yang menjadi bagaikan lagu wajib buat penyokong KL City itu kembali mendapat perhatian para peminat bola sepak tempatan apabila dinyanyikan semasa ‘viewing party’ di Matic ketika KL City menentang ATK Mohun Bagan di peringkat separuh akhir antara zon.

 

KL City FC mencipta satu lagi kejutan apabila berjaya menundukkan wakil kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan penalti dan Matic sekali lagi bergemuruh dan lagu Sinaran sekali lagi dinyanyikan dan lebih menarik diiringi Datuk Sheila Majid yang turut hadir memberikan sokongan.

Dengan jualan tiket yang sudah hampir mencecah 20,000 keping secara dalam talian, pastinya Sinaran akan bergema di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang sepak mula.

Ini adalah inisiatif yang baik daripada pengurus kelab yang dilihat peka dengan kehendak penyokong yang mahukan malam 22 Oktober ini menjadi malam gemilang buat Kuala Lumpur City FC.

Kuala Lumpur City FC akan berhadapan Al-Seeb dari Oman dengan KL City cuba menjadi kelab kedua Malaysia dan Asia Timur menjuarai pertandingan ini selepas Johor Darul Ta’zim melakukannya pada 2015.