“KAMI berdua berhak untuk berada di Paris!”
Begitulah yang gambaran yang mampu pelari pecut 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy mampu luahkan mengenai situasi dirinya dan jaguh pecut 100m lelaki, Muhammad Azeem Fahmi, setelah kedua-dua mereka gagal mendapat slot merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya dan Azeem bekerja keras untuk ke Olimpik Paris dan pada penghujungnya kami berdua sebagai atlet mahu tiket wild card untuk meraih pengalaman selain bersaing hebat di Sukan Olimpik.
“Saya rasa kami berdua berhak untuk berada di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Apa sahaja keputusannya kami terima, saya bersyukur dan terima kasih. Apa saja keputusan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) saya menerima dengan hati yang terbuka,” katanya, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba dari Kazakhstan, pagi ini.
Keputusan wild card itu terletak di tangan KOM dan dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Shereen dan Azeem dijadualkan beraksi di Sukan Universiti Asean (AUG) di Surabaya-Malang, di Indonesia yang kini sedang berlangsung sehingga 6 Julai.
Ketika ini nama pelari 400 meter (m) Shereen menjadi sebutan untuk menerima tiket wild card ke Temasya Paris 2024 biarpun terpaksa beraksi dalam acara 100m atas tiket wild card.
Ini susulan prestasi konsistennya dalam acara kegemaran 400m namun Shereen turut memiliki catatan yang baik dalam acara 100m, iaitu 11.61s yang dicatatkan April lalu di Kejohanan Olahraga Jemputan Elit, di Clermont, Florida.
Malah Shereen, terus mempamerkan konsistensi dalalam larian 400m apabila meraih emas di Terbuka Kazakhstan dengan catatan 52.60s .