PEMILIK rekod 400 meter kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy mempamer aksi sang juara, ketika mengungguli saringan ketiga pusingan awal, Sukan Asia ke-19, dengan catatan masa 52.89 saat.
Shereen, tiada masalah untuk mengatasi pencabarnya, Hoang Thi Minh Hanh (Vietnam) di tempat kedua dengan catatan masa 53.49s.
Hanya dua terbaik setiap saringan layak secara automatik ke peringkat akhir yang akan berlangsung esok di Stadium OIimpik Hangzhou.
Bagi Shereen ia satu permulaan sempurna buat dirinya yang memburu catatan masa terbaik apabila turut berjaya menewaskan pelari India, Himanshi Malik, 57.82s. Pelari India itu memiliki catatan peribadi terbaik 51.76s.
“Fokus utama hari ini adalah untuk mara ke final. Saya gembira dapat melakukannya, saya akan beri segalanya di final kerana sasaran utama saya adalah untuk mendapatkan podium untuk negara.
“Ini adalah penampilan pertama saya di Sukan Asia jadi saya memang berharap untuk mara ke final dan mahu menghadiahkan pingat buat negara,” katanya.
Untuk rekod, catatan terbaik Shereen tahun ini adalah ketika dia memecahkan rekod kebangsaan berusia 25 tahun Ogos lalu dengan catatan 51.80s.
Shereen yang kini menghuni ranking ke-111 dunia melakarkan masa itu ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat.
Sementara itu impian seorang lagi wakil negara dalam acara 400m, Umar Osman untuk mara ke final 400m tidak kesampaian apabila menamatkan larian saringan ketiga di kedudukan keempat.
Umar mencatatkan masa 46.58s meletakkan dirinya di kedudukan ke-11 keseluruhan dari 22 atlet yang bertanding.