OFF season, masa untuk bersama keluarga.

Begitulah perancangan pemenang pingat gangsa 400m wanita di Sukan Asia Hangzhou 2022, Shereen Samson Vallabouy, mahu meluangkan masa bersama keluarga di Ipoh, Perak.

Gadis berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, berehat (off season) selama enam minggu sebelum memulakan musim baru tahun depan dalam misi melayakkan diri secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris.

Selepas menempuhi musim yang panjang dengan dibelenggu kecederaan serta tiga kali memecah rekod kebangsaan 200m (23.33s), 400m (51.80s) dan 400m dalam dewan yang pertama dalam sejarah, Shereen menzahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan larian di kedudukan podium.

Shereen Samson Vallabouy melengkapkan profil keluarganya, meraih pingat di Sukan Asia.

“Saya gembira kerana dapat mengikut jejak langkah keluarga saya memberi pingat buat negara dalam sukan ini.

“Ibu (Josephine Mary) dan bapa (Samson Vallabouy) sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Biarpun mereka pernah berikan pingat kepada negara, tapi mereka tak pernah beri tekanan kepada saya kerana mereka tahu ia akan menjadi sukar,” katanya.

Namun misinya di Hangzhou kali ini masih belum tamat kerana dia turut dijadualkan memperkuat kuartet 4x100m wanita negara yang akan bermula Selasa.

“Kedudukan saya dalam kuartet negara masih belum pasti lagi dan semuanya terpulang kepada keadaan hamstring saya jika tiada sebarang masalah atau kecederaan mungkin saya akan membantu kuartet negara nanti.

Perkongsian Shereen di akaun Instagram miliknya.

“Ketika ini saya fokus kepada pemulihan terlebih dahulu dan kita lihat bagaimana keadaannya nanti,” kata Shereen.

Shereen berada dalam senarai enam pelari wanita bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisya dan Nur Aisyah Rofina Aling.

Semalam (Sabtu), Shereen menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk meraih sebutir pingat buat atlet olahraga wanita di Sukan Asia.

Atlet berusia 25 tahun itu, mencatatkan 52.58s di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan miliknya 51.80s.