KOMPETITIF mahupun tidak, jaguh 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy nekad menampilkan larian terbaik di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, dalam usaha memburu sot merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemilik rekod kebangsaan dengan catatan 51.79 saat (s) itu berkata, layak secara merit menjadi keutamaannya namun tidak kisah jika terpaksa menggunakan kedudukan ranking Road to Paris, sebagai peluang untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Layak secara merit itu lebih baik tetapi jika kedudukan ranking melakyakkan saya untuk mewakili negara di Sukan Olimpik, saya akan cuba dapatkan kerana apa juga cara… layak ke Olimpik mewakili negara satu pencapaian yang besar,” kata Shereen, sambil mengakui dia menetapkan sasaran memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri, setiap kali berlumba.
Pada 2 Jun lalu, Shereen sekali lagi memecah rekod kebangsaan miliknya dengan catatan baharu 51.79s ketika berlari di Music City Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat (AS).
Catatan itu melebur rekod lamanya, 51.80s yang dilakukan di California, AS pada April tahun lalu.
Menurutnya, dia tidak kisah sama dia atau jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi atau dia diberikan tiket wild card untuk beraksi di Olimpik Paris nanti.
“Saya tidak kisah, jika salah seorang daripada kami layak secara merit, seorang lagi akan ke Olimpik menggunakan tiket wildcard.
“Apapun, saya mahu cuba lakukan masa terbaik di final Terbuka Malaysia sebelum menbyertai Terbuka Kazakhstan.”
Shereen lolos ke final acara 400m Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di Kuantan, esok selepas memenangi separuh akhir ketiga dengan catatan 55.44s.
Acara 400m akhir akan berlangsung pada Sabtu, pada jam 11.10 pagi.