PEMEGANG rekod kebangsaan acara 400 meter (m) wanita Shereen Samson Vellabouy mengembalikan maruah negara dalam acara itu, apabila menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun di trek Stadium Nasional Techo Morodok, Phnom Penh.
Catatan 52.53 saat (s) dilakukannya cukup untuk menewaskan tujuh lagi pesaing, yang menyaksikan 2 atlet dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang meraih perak dan gangsa.
Kali terakhir pingat emas 400m wanita Sukan SEA dimenangi atlet negara adalah pada tahun 1999, menerusi N Manimagalay, di Brunei.
“Saya berkerja keras untuk menjadi pemenang individu di Sukan SEA kali ini. Saya mula sertai Sukan SEA sejak 2015 dan hasil latihan, saya mampu berlari lebih pantas lebih yakin untuk mengekalkan rentak larian,” kata Shereen.
Melahirkan rasa bersyukurnya kerana segala masalah termasuk jet lag juga berjaya diatasi, hanya keinginan mahu melakukan yang terbaik menjadi faktor tekanan kepadanya.
Katanya, dia sentiasa “mahu menjadi yang terbaik dalam negara, sudah memecah rekod Rabia Abdul Salam, rekod emak saya.
“Walaupun catatan masa ini tidak menepati jangkaan yang saya mahu lakukan, tapi saya gembira dapat pingat emas.”
Kehadiran ibunya Josephine Mary dan bapa Samson Vellabouy di stadium, menambah rasa bangga.