KEMENANGAN pingat emas pertama Sukan SEA buat Shereen Samson Vellabouy pada Selasa bukan hanya membanggakan negara dan keluarganya, malah menambah lagi reputasi keluarga Shereen yang kini memegang status sebagai pemegang rekod.
Selepas Shereen melakukan catatan 51.80 saat (s) mengatasi catatan 400 meter milik Rabia Abdul Salam (52.56s) di Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, Amerika Syarikat bulan lalu, sememangnya mahukan pingat emas Temasya Sukan SEA Kemboja, untuk memastikan namanya tercatat dalam sejarah sebaris nama ibu dan bapanya, Josephine Mary Singarayar atau lebih dikenali sebagai Josephine Mary dan Samson Vellabouy.
Ironinya, ketika nama Shereen berada dalam senarai pemilik rekod kebangsaan dalam acara 400m, nama Josephine juga masih kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan dalam acara 800m wanita.
Catatan 2:7.44s yang dilakukan di Sukan Asia Seoul, Korea Selatan pada 1986 kini berusia 37 tahun.
Nama bapanya Samson Vellabouy pula masih tercatat sebagai pemegang rekod acara 800m lelaki, Sukan SEA.
Samson merakam catatan 1:48.29s di Temasya Kuala Lumpur 1989 dan rekod itu bertahan selama 34 tahun sehingga hari ini.
“Saya pernah menang emas Sukan SEA tahun 1989 dan 1991, dengan kemenangan emas Shereen ni, sudah tentu kami sebagai ibu bapa amat gembira.
“Saya harap rekod Sukan SEA saya dipecahkan esok (hari ini),” kata Samson Vellabouy.
Hari ini acara 800m Sukan SEA Kemboja akan membuka tirai saingan.
Dalam pada itu, Josephine berkata, apa yang dicapai Shereen bermakna anak perempuannya berjaya memenuhi impian dan sasaran untuk memahat nama sebagai pemenang pingat emas Sukan SEA.
“Saya gembira kerana suami saya pemenang emas Sukan SEA dan pernah memenangi pingat Sukan Asia, saya juga sama dan kini anak kami mengikut jejak.
“Selepas ini tentunya fokus Shereen lebih besar termasuk di Sukan Asia,” kata Josephine.
Semalam, Shereen memenangi emas dengan catatan 52.53s, tidak berjaya mengatasi rekod kebangsaan dilakukannya bulan lalu 51.80s.
Catatan rekod kebangsaan miliknya itu, mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Jakarta-Palembang 2018, Elina Mikhina dari Kazakhstan iaitu 52.63s.