HARAPAN melihat ratu 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy mencipta rekod baharu kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, tidak kesampaian apabila pelari yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sekadar mencatat 52.44 saat (s) ketika memenangi pingat emas di final.
Dia yang memegang rekod 51.79s yang dilakukan di Tennessee, AS 2 Jun lalu, perlu sekurang-kurangnya membaharui rekod kebangsaan dan memenangi perlumbaan, untuk memungut mata ranking kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Pada aksi final 400m wanita, Shereen mempamerkan larian yang memukau di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang apabila meninggalkan jauh pelari lain sejak awal perlumbaan untuk muncul yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 52.45s.
Dia yang mewakili Perak, menewaskan Nurul Aliah Maisarah Nor dari Johor (pingat perak) dengan catatan 57.18s manakala Nurul Faziah Asma Mazlan dari ATM menang gangsa dengan catatan 57.61s.
Dalam pada itu, Umar Osman yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) memenangi acara 400m lelaki selepas menewaskan atlet Sabah, Muhammad Khalil Helmi untuk pingat perak manakala Luqmanul Hakim Khairul Akma dari ATM, gangsa.
Umar pertama melintas garisan penamat dengan catatan 46.27s, manakala Khalil, 47.60s, dan Hakim, 47.92s.