REKOD kebangsaan 400 meter (m) wanita, milik Allahyarhamah Abdul Salam akhirnya lebur selepas 30 tahun bertahan, apabila pelari negara berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Shereen Samson Vallabouy melakukannya di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63 di California, Amerika Syarikat (AS) awal pagi Ahad.
Shereen, 25, mewakili Winona State Universiti di Minnesota, mencatat masa 51.80 saat (s), sekali gus memadam rekod milik Rabia, 52.56s yang dilakukan di Filipina pada 1993.
Meskipun berjaya membaharui rekod kebangsaan, Shereen sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hilmer Lodge itu.
Dia menamatkan larian di belakang pelari Texas A&M University, Jermaisha Arnold yang muncul juara dengan catatan 50.79s diikuti rakan sepasukannya, Tierra Robinson-Jones kedua (51.01s) manakala atlet University of South Carolina, Jan’Taijah Jones ketiga (51.06s) dan Ziyah Holman dari University of Michigan keempat (51.60s).
Shereen sebelum ini empat kali meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dengan yang terakhir ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu dengan catatan 52.27s.
Kejayaan pelari yang juga anak kepada bekas atlet kebangsaan, Josephine Mary Singarayar itu, meletakkan dia di landasan tepat dalam misi untuk memenangi emas 400m di Sukan SEA Kemboja, bulan depan.
Pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu, emas dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen dengan catatan 52.83s.