KETUA jurulatih skuad B-23 tahun Indonesia, Shin Tae-yong tidak dapat menyembunyikan kemarahannya kepada pengadil, Nasrullo Kabirov selepas skuad Garuda Muda tewas 0-2 kepada Qatar dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Piala Asia AFC B-23.
Dalam aksi di Stadium Jassim bin Hamad, Doha pada Isnin itu, Indonesia dilayangkan dua kad merah oleh pengadil Tajikistan itu sekali gus menjadi bahan bualan para pemain dan netizen Indonesia mula menyerang pengadil dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di laman-laman media sosial.
Tae-yong berpendapat keputusan yang diberikan pengadil lebih memihak kepada tuan rumah dengan mengambil contoh kad kuning kedua yang diterima Ivar Jenner hanya selepas satu minit babak kedua bersambung.
Pengendali asal Republik Korea itu juga secara tidak langsung menilai pertandingan ini seakan-akan sudah ditentukan sejak awal untuk memberikan kemenangan kepada Qatar.
“Para pemain sudah berusaha melakukan yang terbaik tetapi banyak keputusan pengadil di sepanjang pertandingan. Jika dilihat, ini bukan pertandingan bola sepak tetapi sebuah pertunjukan komedi. Qatar memang tuan rumah, namun itu sangat berlebihan.
“Saya tidak boleh mengatakan apa pun tentang pemain yang dilayangkan kad merah, saya kehabisan kata-kata kerana bola sepak tidak seharusnya dimainkan seperti ini.
“Saya sungguh tidak faham. Kami di sini untuk bertanding tetapi pelajaran apa yang diberikan AFC. Kad merah pertama kami, tidak ada kontak sama sekali dan mengapa mereka tidak memakai VAR dalam situasi seperti ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan keatas Qatar ini menjadikan langkah Indonesia untuk layak ke peringkat seterusnya semakin sukar dan kini bakal berhadapan Australia tanpa dua pemain utama pada Khamis.