PEMAIN pertahanan Perak FC, Shivan Pillay bertanggapan bahawa perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia dengan Johor Darul Takzim (JDT) bakal memberi cabaran besar buat pasukannya apabila bermain di stadium pihak lawan, Stadium Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, pemain yang berusia 23 tahun itu tetap mempunyai azam yang tinggi supaya dapat beraksi dengan baik dan memberikan keputusan cemerlang untuk perlawanan nanti.
Shivan yang baru sahaja meledak gol sulungnya bersama Perak FC semalam dalam aksi Liga Super menentang Kelantan FC turut akur dengan kekuatan pasukan Harimau Selatan itu namun berharap supaya pasukannya dapat meneruskan taktikal yang sama semasa perlawanan pertama separuh akhir lalu.
Anak buah Yusri Che Lah ini dalam masa yang sama telah menyatakan pesanan yang sering diingati oleh ketua jurulatihnya,
Keyakinan terhadap bola perlu tinggi dan ketika bermain dengan JDT, jangan terlalu mudah untuk membuat kesilapan ringan.
Tambah Shivan, “Dengan nasihat yang sering diberikan oleh beliau, kami dapat bermain dengan yakin dan berhasil untuk menguasai bola walaupun berlawan dengan juara bertahan Liga Super itu.
“Kami tidak meletakkan banyak tekanan dan pasukan juga telah lakukan yang terbaik untuk melayakkan diri ke separuh akhir ini.
“Jadi untuk perlawanan seterusnya menentang JDT, kita akan cuba buat sehabis baik dan jika dapat mengalahkan JDT, itu adalah bonus untuk kami,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia 2023 antara Perak FC dan JDT telah dijadualkan berlangsung pada 2 November di Stadium Sultan Ibrahim.
JDT mempunyai kelebihan lebih selepas mendahului agregat 4-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Perak, 19 Oktober lalu.