PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh dilantik menganggotai Jawatankuasa Integriti FAM penggal 2021-2025.

Lantikan itu diumumkan semasa Jawatankuasa Integriti FAM yang bermesyuarat buat kali ketiga bagi penggal 2021-2025 di Putrajaya, pagi Rabu.

Mohd Shuhail  tidak asing dalam kalangan media apabila terdahulu pernah menjawat Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 30 Ogos lepas.

Sementara, Ruslin sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia sebelum menyandang jabatan tertinggi Imigresen berkuatkuasa pada 22 Mac 2023.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan telah dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Aseh Haji Che Mat selaku Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

May be an image of 3 people and text

Manakala, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Seri Panglima Azam Baki merupakan timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan.

“Agenda mesyuarat tersebut antaranya berkisar kepada perbincangan mengenai initipati bengkel integriti yang akan diadakan pada Februari 2024.

“Pesertanya terdiri dalam kalangan Persatuan Negeri, MFL dan AFL, serta perbincangan mengenai pelantikan ahli jawatankuasa integriti di setiap negeri iaitu melantik pengerusi integriti negeri dari SPRM dan timbalan pengerusi negeri dalam kalangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Negeri PDRM,” kata kenyataan rasmi FAM.