UNDIAN Piala Asia AFC 2023 bakal diketahui hari ini apabila majlis undian kejohanan bola sepak terbesar Asia itu akan berlangsung di Katara Opera House, Doha, Qatar jam 7 malam waktu Malaysia.
Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia AFC selepas 43 tahun dan sudah semestinya semua tumpuan peminat bola sepak tempatan akan teralih ke Doha untuk mengetahui siapakah lawan yang bakal dihadapi oleh Malaysia.
Malaysia yang diletakkan dalam Balang 4 bakal bertemu tiga lawan yang mempunyai kualiti dan ranking lebih tinggi namun ianya adalah satu ujian yang cukup baik buat anak-anak buah Kim Pan-gon untuk mengembalikan zaman gemilang bola sepak Malaysia.
Balang 1 mempunyai enam pasukan, Qatar, Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, Australia dan Iran yang kesemuanya pernah beraksi dalam Piala Dunia Fifa dan pastinya menjadi halangan terbesar Malaysia di peringkat kumpulan.
Beberapa wajah yang biasa ditentang Harimau Malaya mengisi Balang 2 dengan Emiriah Arab Bersatu, Oman, Iraq, Uzbekistan, China dan Jordan mungkin adalah lawan yang mungkin boleh menyaksikan pasukan kebangsaan melakar kejutan.
Balang 3 juga menyaksikan beberapa negara yang pernah menjadi seteru Malaysia termasuk Bahrain dan Vietnam selain Palestin, Syria, Republik Krygyz dan Lubnan mungkin menjadi peluang buat Harimau Malaya untuk mengutip tiga mata.
Siapa pun yang bakal diundi, pastinya Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan sudah mempunyai rencana untuk memberikan aksi membanggakan buat rakyat Malaysia dalam sejarah baharu ini.
Beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa juga telah disusun sepanjang kalendar Fifa bagi memastikan pemain yang terpilih ke dalam skuad Piala Asia AFC 2023 nanti adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik untuk menggalas tugasan yang sukar ini.