MASIH berteka-teki siapakah watak utama akan kembali menggalas cabaran skuad Harimau Malaya pada aksi getir bertemu Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia 2023.
Percaturan awal Kim Pan-gon meletakkan formasi 3-4-3 seakan kurang menjadi sehingga kita tewas besar empat gol tanpa balas ketika bertemu Jordan Selasa lalu
Malaysia bermain dengan meletakkan tiga pemain serangan di depan, Darren Lok bersama Faisal Halim dan tonggak naturalisasi terbaharu, Romel Morales.
Namun, adunan itu kurang menjadi dan Pan-gon dijangka bakal membuat sedikit perubahan di jentera hadapan bagi menambah sengat sekali gus memburu gol.
Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Arif Aiman Hanapi mungkin antara pilihan tambahan yang ada untuk digandingkan bersama Lok jika dia diturunkan.
Pemain paling banyak kaps dengan 57 penampilan, Safawi Rasid juga boleh di bawa masuk pada kesebelasan utama untuk merobek gol awal ke kubu Bahrain untuk membina semula semangat pemain negara sekali gus mencatur permainan.
Bagaimanapun, Raja Isa Raja Akram Shah, yang merupakan jurulatih antarabangsa Malaya, ada pandangan tersendiri menjelang pertemuan hidup mati Malaysia di pentas Piala Asia.
“Formasi digunakan Pan-gon tiada masalah tetapi berkemungkinan perlukan pemain yang sesuai dengan taktikal untuk berhadapan pasukan negara Arab.
“Mungkin simpan dulu beberapa pemain utama ketika kita kalah semasa bertemu Jordan, dan masukkan kembali mereka di separuh masa kedua (30 atau 35 minit terakhir).
“Ini adalah waktu yang sangat efektif dan concertration opponent sudah tidak seperti segar berbanding sewaktu sepak mula. Kalau pun terpaksa apply block defending, saya rasa lebih berkesan terutamanya kalau berani block defending di middle third Bahrain dan bukan di defending third Malaysia
“Sebabnya collective perlawanan Malaysia sangat baik serta penguasaan bola dan mereka mampu jaringkan gol sebenarnya.
“Naluri pemburu gol ada di beberapa pemain seperti Corbin Ong, Faisal, Arif Aiman dan Dion Cools. Tidak terlupa Akhyar, Safawi dan Daren Lok, cuma yang perlu difokuskan bagaimana decision making apabila transisi dari menyerang yang menjadi kelemahan Harimau Malaya dalam beberapa pertandingan termasuk bolos empat gol melawan Jordan,” katanya.
Misi menundukkan Bahrain yang berada di ranking 86 dunia itu dijangka lebih sukar berbanding ketika tunduk 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama Selasa lalu.
Malah ukuran itu turut didorong dengan pertemuan yang menyaksikan Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain dengan kali terakhir menumbangkan skuad The Reds itu pada 1978.
Selepas itu, kedua-dua pasukan sudah bertemu 10 kali dengan skuad Harimau Malaya gagal melakar kemenangan apabila sekadar mampu seri tiga kali dan tunduk tujuh kali.
Pertembungan terakhir adalah pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2022 lalu, di mana Malaysia tumbang 1-2 sebelum bangkit menewaskan Bangladesh untuk menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia.