GELARAN juara dunia yang dimenangi jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan atlet boling wanita, Natasha Mohamed Roslan meletakkan mereka sebagai pilihan bagi merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023.

Syarul Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Mike terlalu unggul berbanding empat pencabar lain selepas memenangi gelaran dunia kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.

Syarul mengumumkan persaraannya pada Mac lalu bagaimanapun tetap berdepan tentangan sengit daripada empat lagi calon akhir termasuk atlet ekuestrian yang memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.

Turut tersenarai adalah jaguh skuasy, Ng Eain Yow yang turut memenangi emas di Hangzhou, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Sekiranya tuah kali keenam menyebelahi Mike untuk merangkul gelaran sulung di ASN, dia bakal menjadi atlet bina badan negara yang ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.

Malek Noor pernah dinobat Olahragawan pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali pernah memenanginya sebanyak empat kali bermula tahun 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Sementara itu, Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia untuk muncul juara dunia, menjadikan dirinya tersenarai sebagai antara lima calon Olahragawati Kebangsaan.

Natasha memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada tahun 2011 di Hong Kong.

Natasha akan bersaing Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang) bagi perebutan gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Syalin Zulkifli pada 2002.