PUSAT Sukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan Majlis Anugerah Sukan UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Sabtu.

Anugerah tahunan ini adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh para atlet dan pegawai yang telah mengharumkan nama UiTM dalam arena sukan, sama ada diperingkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurut kenyataan media UiTM, pengiktirafan ini selaras dengan hasrat UiTM, iaitu permekasaan mahasiswa dalam bidang sukan selain menggalakkan penglibatan aktif pelajar didalam bidang sukan.

“Sebanyak 15 kategori anugerah bakal diberikan kepada atlet dan pegawai yang telah mempamerkan kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing sepanjang tahun 2022 yang lalu.

“Anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Olahragawan, Olahragawati, Anugerah Hall of Fame, Anugerah Emas Universiti, Anugerah Perak Universiti, Anugerah Gangsa Universiti, Anugerah Khas Universiti, Anugerah Sijil Penghargaan, Pasukan Cemerlang, Pengurus Cemerlang, Jurulatih Cemerlang, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni, serta penghargaan khas staf,” tulis kenyataan itu.

Aniq Kasdan menyumbang emas pertama Malaysia dalam acara 55 kilogram pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, telah menerima sebanyak 219 pencalonan dari berbagai kategori yang dipertandingkan.

“Pada tahun ini seramai lapan orang calon olahragawan dan tujuh olahragawawati telah disenarai pendek bagi merangkul anugerah Olahragawan dan Olahrawagawati UiTM. Calon olahragawan terdiri daripada Ahmad Zulhilmi Azizad (ragbi), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Syed Afiq Fakhri Syed Ali (petanque), Zuhri Muhammad Zin (sepak takraw), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (bola sepak), Khairul Naim Zainal (kayak), Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), dan Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak).

“Manakala olahragawati pula terdiri daripada, Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang), Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali (petanque), Nur Amisha Azrilrizal (muaythai), Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar (catur), Nur Syafiqah Zainal Abidin (futsal wanita), Aimi Ayuni Zwan (kayak) dan Juni Karimah Noor Jamali (perahu layar),” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: UiTM ucap tahniah kepada Aniq

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi mewakili Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dijangka menyempurnakan majlis berkenaan.